Hajat Kelantan untuk mara ke final lebur apabila kalah 0-2 kepada Selangor dalam separuh akhir kategori berpasukan bawah 12 tahun Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Kompleks Sukan Paroi, Negeri Sembilan, hari ini.

Kelantan turun penuh semangat selepas menewaskan Melaka 2-1 dalam aksi suku akhir pagi tadi dengan membariskan tekong utama, Khairul Faiz Nor Azhar, Mohd Afiq Firdaus Faisal dan Mohd Nor Aiman, namun mendapati regu Selangor A begitu liat untuk ditumbangkan.

Skuad Merah Kuning pula menurunkan Abdul Aiman Abdul Halim, Muhammad Asyraf Othman dan Raja Lutfil Hadi Raja Mohd Idi begitu tenang menguasai gelanggang untuk menang 2-0 (21-12, 21-18) dalam masa 40 minit.

Regu B Kelantan yang diwakili Mohd Syahman Mohd Samri, Mohd Irfan Mahazan dan Iqbal Haikal Sidik yang diharap mampu memberikan aksi terbaik, bagaimanapun, gagal menangani tekanan apabila kalah 0-2 (13-21, 14-21) kepada regu B Selangor.

Jurulatih Kelantan, Zairullah Yusuf, akur dengan kekuatan skuad Selangor kali ini sambil menganggap pemainnya sudah memberikan yang terbaik dalam aksi separuh akhir itu.

"Tahniah kepada Selangor yang beraksi begitu baik petang ini. Pemain saya banyak melakukan kesilapan dan hasilnya, kami terpaksa akur dengan kekalahan ini.

"Insya-Allah, kami akan baiki segala kekurangan yang ada untuk aksi penentuan tempat ketiga dan keempat pagi esok," katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi separuh akhir, Pahang mengalahkan Perak 2-0 untuk membuat perhitungan dengan Selangor dalam final pagi esok.