Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, menggesa Majlis Sukan Negara (MSN), mengeluarkan surat pelepasan secepat mungkin untuk diserahkan kepada majikan pemain masing-masing bagi membolehkan mereka melapor diri ke kem latihan pusat dalam masa terdekat.

Skuad takraw negara sepatutnya menjalankan persiapan menghadapi Sukan SEA Manila bermula 2 Januari lalu.

Bagaimanapun, hanya sembilan daripada 24 pemain turun menjalani latihan kerana sebilangan besar pemain masih tidak mendapat pelepasan daripada majikan masing-masing.

Justeru, Ahmad berharap MSN dapat mengeluarkan surat pelepasan bagi melancarkan persiapan mereka bagi ujian pertama, iaitu Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari pada April depan.

"Majikan amat memerlukan surat pelepasan daripada MSN, kami berharap ia dapat diselesaikan dengan segera kerana kami telah terlepas dua minggu sesi latihan.

"Untuk tiga bulan pertama, kami mengutamakan latihan kekuatan fizikal yang bakal dijalankan oleh pihak Institut Sukan Negara (ISN). Tetapi kami kini terpaksa melakukan perubahan dalam persiapan dan apa yang membimbangkan saya adalah kejohanan yang bakal disertai pada bulan April nanti."