Jurulatih skuad sepak takraw ATM, Aswadi Abdullah, mengakui telah mencapai misi peribadinya untuk bergelar juara Piala Emas Khir Johari sebagai pemain dan jurulatih.

Mengimbau kenangan sedekad lalu, Aswadi berkata dia beraksi selaku regu ketiga ATM dalam final edisi 2009 dan menjuarai kejohanan berkenaan.

Ironinya, tahun itu juga menjadi kejuaraan terakhir ATM sebelum anak buah Aswadi itu menewaskan PDRM dalam final edisi ke-55 di Kuala Terengganu, semalam.

"Adalah menjadi kepuasan dan pencapaian tertinggi untuk bergelar juara Piala Emas Khir Johari.

"Memang menjadi hasrat saya untuk merasai gelaran itu selaku pemain dan jurulatih, dan hari ini (semalam), tercapai juga hasrat itu," jelasnya.

Regu B ATM, yang dibarisi Tunku Noor Izwari Tunku Ishak, Mohd Afifuddin Razali dan Nor Faizzul Abdul Razak, memberikan kejuaraan ke-12 selepas mengalahkan regu PDRM A, 21-16, 21-17.

Selaku juara, mereka memenangi RM5,000, trofi dan medal manakala trio Muhd Syahmi Husin, Mohd Syukri Hasan dan Muhd Suhairi Sulaiman (PDRM A) terpaksa berpuas hati dengan hadiah RM3,000, trofi berserta medal.

Mengulas lanjut, Aswadi berkata pencapaian ATM itu merupakan satu bonus memandangkan mereka hanya turun ke gelanggang dengan hanya menyasarkan separuh akhir.

"Di atas kertas, regu Perak dan Kuala Lumpur lebih bagus, namun saya gembira pemain-pemain membuktikan sebaliknya dalam setiap perlawanan," tambahnya.