Masa kian suntuk buat dua bekas tekong utama skuad negara, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak, untuk menjawab surat pertuduhan yang dikeluarkan oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), yang tempohnya akan berakhir Isnin ini.

PSM telah mengeluarkan surat pertuduhan setebal 48 dan 37 muka surat itu, masing-masing buat Syahir dan Zulkifli, 26 Ogos lalu.

Tempoh 14 hari untuk menjawab surat pertuduhan itu akan tamat tiga hari lagi dan sehingga kini, masih tiada maklum balas daripada kedua-dua bekas tekong negara itu.

Bagaimanapun, Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, mendedahkan Syahir pernah menghubunginya sewaktu saingan Piala Raja Thai di Bangkok minggu lalu dan membayangkan akan menemui jalan penyelesaian positif, dengan syarat kedua-dua individu itu harus mengikuti prosedur yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tindakan Tatatertib badan induk itu.

""Dia Facetime (panggilan video) dengan saya, 'Datuk apa khabar'.

"Semasa saya di Bangkok juga, mungkin dia rindu dekat saya kot.

"Tiada masalah, kerana kami profesional dan mengambil tindakan mengikut prosedur dan apa yang perlu," katanya.

PSM turut menjelaskan pengambilan lapan pemain import dalam Liga Sepak Takraw (STL) musim ini merupakan misi serampang dua mata.

Kesemua pemain import itu akan dijadikan rakan sepelatih skuad kebangsaan sebagai usaha untuk mempertahankan pingat emas acara antara regu dalam Sukan SEA Filipina, November depan.

"Tapi apabila kami sudah berada lebih kurang di 'par' (dengan Thailand), di situlah ada keberanian untuk membuka peluang buat pemain import.

"Dengan hadirnya pemain import, sebenarnya saya juga telah berpakat dengan jurulatih negara, Isnin hingga Rabu, kami akan menggunakan khidmat mereka sebagai (rakan) sparring dan saya rasa ia untuk kebaikan pemain kita juga," tambahnya.