Kapten skuad sepak takraw lelaki negara, Farhan Adam, akur dengan dahaga peminat tanah air yang tidak akan padam selagi Malaysia belum membenam Thailand.

Malaysia disajikan dengan cerita kebangkitan menakjubkan daripada skuad negara dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos tahun lalu.

Walaupun di ambang kekalahan, Malaysia yang dalam keadaan penuh terdesak merampas pingat emas acara antara regu daripada pasukan tuan rumah, Indonesia.

Bagaimanapun, Farhan sedar untuk menjadi juara sebenar, Malaysia perlu menundukkan Thailand dengan kemungkinan kedua-dua seteru tradisi itu akan mencongak perhitungan dalam Sukan Sea Filipina 2019, hujung November depan.

"Daripada aspek fizikal, skuad negara tidak banyak berbeza dengan Thailand.

"Apa yang menjadi perbezaan adalah kami tidak dapat beraksi konsisten.

"Kami akan mengambilnya sebagai suatu semangat kerana apabila sudah mencapai tahap terbaik, kami perlu mengimpikan sesuatu yang lebih besar daripada itu.

"Kami akan mencuba untuk tidak menghampakan impian rakyat Malaysia," katanya.

Kem negara turut disuntik semangat baru menerusi kehadiran semula ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad, yang baru sahaja menamatkan penggantungan empat bulan yang dikenakan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).

"Kehadiran Talib dalam skuad kebangsaan amat diperlukan memandangkan dia banyak mendorong kami dengan sokongan yang diberikan.

"Dia juga mempunyai pelbagai pencapaian di peringkat antarabangsa.

"Pengekalannya merupakan sesuatu yang baik buat pasukan," kata pemain negara, Norhafizi Abdul Razak.