Malaysia lalui ujian pertama tanpa Syahir, Zulkifli

Oleh Staff Writer 16 Ogos 2019 2274
Malaysia lalui ujian pertama tanpa Syahir, Zulkifli
Skuad sepak takraw negara bakal mengharungi ujian pertama tanpa kehadiran dua bekas tekong emas, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak, dengan menyertai dua kejohanan berturut-turut di bumi gajah putih.

Skuad negara akan menyertai Piala Datuk Bandar bermula hari ini di Hatyai dan seterusnya Piala Raja Thai di Bangkok pada 23 Ogos ini.

Ia bakal menjadi ujian buat tekong-tekong sedia ada bagi menggalas cabaran setelah Syahir dan Zulkifli mengambil keputusan angkat kaki daripada kem kebangsaan gara-gara tidak berpuas hati dengan pengurusan sambil dituduh dengan masalah disiplin serta pembahagian elaun.

Biarpun tanpa kelibat dua bekas pemain negara itu, barisan kejurulatihan negara yakin Malaysia masih mampu melangkah ke final untuk kedua-dua kejohanan tersebut.

"Yang penting, kami mahu pemain pamerkan permainan yang terbaik dahulu. Setelah mereka buktikannya, saya ingin lihat mereka gunakan senjata yang telah diraih menjelang Sukan SEA nanti kerana sasaran utama adalah mara ke final," kata ketua jurulatih kebangsaan, Abdul Talib Ahmad.

"Saingan ini untuk pemain yang baru melalui aksi pertama kali di peringkat antarabangsa bagi meraih pengalaman. Kami ingin tunjukkan kekuatan serta kehebatan kami menjelang Sukan SEA tahun ini," tambah pemain negara, Azlan Alias.

Peranan kapten juga dirombak setelah apit kanan, Farhan Adam, mengalami kecederaan bahu dengan perejam, Mohd Hafizie Abd Razak, akan menggalas tugas itu.

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen