Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, tidak mahu terburu-buru untuk mengumumkan keputusan daripada pertemuannya dengan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, semalam.

Beliau tidak mahu berkongsi sebarang keputusan membabitkan PSM ketika ini dan memilih satu waktu lain untuk membuat pengumuman.

Khairy mengakui pertemuannya dengan PSM di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berlangsung sempurna dan kini berada dalam proses penelitian untuk sebarang keputusan atau perbincangan lanjut.

"Saya akan buat pengumuman dalam masa yang sesuai," katanya ringkas.

Perbincangan dengan PSM terarah kepada hala tuju sukan itu selain prestasi tahun lalu turut diambil kira.

Ia sekali gus dianggap sebagai pembelaan diri PSM untuk terus diberi kepercayaan selepas sepak takraw digugurkan daripada sukan teras dan Sukan Malaysia (Sukma) Perak.