Selepas minggu pertama yang suram, Kelantan Warriors berazam mahu bangkit semula mencipta kemenangan apabila turun menentang pendatang baru, Negeri Sembilan Antlers, dalam saingan minggu kedua Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium MABA, petang ini.

Warriors yang tumpas 2-0 kepada Johor Tigris minggu lalu perlu bangkit mencari kemenangan pertama jika tidak mahu terus ketinggalan dalam carta liga.

Penolong pengurus Warriors, Mohd Khairul Anan Ramizu, yakin pemainnya sudah melupakan kekalahan itu dan berjanji memberikan aksi terbaik untuk mengejutkan pemenang tempat ketiga Piala Juara-Juara STL 2018 itu.

"Kami telah buat post-mortem dan kenal pasti kelemahan yang pemain lakukan sepanjang aksi menentang Johor Tigris.

"Kami akan beri lebih tumpuan kepada servis permulaan tekong import kelahiran Thailand, Apirat Promanee, yang mampu memberi mata mudah kepada pasukan.

"Selain itu, lambungan yang sempurna daripada apit kanan juga diberi perhatian khusus oleh barisan kejurulatihan," katanya.

Khairul Anan juga mengingatkan anak buahnya mengenai keupayaan juara Divisyen 1 musim lalu, Negeri Sembilan Antlers, yang mampu membuatkan mereka berputih mata jika gagal memberikan persembahan terbaik.

"Mereka memiliki dua perejam terbaik kebangsaan, iaitu Khairol Zaman Hamir Akbar dan Hafizul Hayazi Adnan, sambil dibantu tekong import dari Thailand, Wirawut Na Nongkhai. Serangan mereka cukup padu dan kami perlu mengukuhkan pertahanan sambil meningkatkan aksi permainan," ujarnya.

Kredit Foto: STL