Selepas menyaksikan kemampuan Johor Tigris menumbangkan juara bertahan, Penang Black Panthers, 2-0 malam tadi, Kelantan Warriors lantas melabelkan skuad kendalian Ahmad Jais Baharom itu sebagai pilihan dalam pertemuan Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium MABA, Kuala Lumpur, petang ini.

Johor Tigris yang menurunkan bekas tekong Kelantan Warriors, Farid Aziz, yang bergandingan dengan perejam kebangsaan, Noraizat Nordin, dan apit kiri, Muklis Borhan, jelas tidak menghadapi sebarang masalah untuk menang 21-18, 21-17.

Pengurus Kelantan Warriors, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, bagaimanapun, yakin semangat juang pemainnya cukup tinggi dan mampu mengatasi segala cabaran untuk membuka aksi sulung STL itu dengan langkah kanan.

"Kami kekal sebagai pasukan 'underdog' dan kehebatan mereka (Johor Tigris) menumbangkan juara bertahan dengan straight set memberi isyarat supaya kami lebih bersedia.

"Dalam aksi malam tadi, jelas kekuatan mereka terletak kepada pertahanan yang mantap dan saya yakin jurulatih (Rozi Abdul Rahman) mempunyai strategi terbaik untuk mengatasinya," katanya.

Shazwan juga berharap tekong Siam, Apirak Promane, mampu membentuk kombinasi mantap bersama apit kiri kebangsaan, Aidil Aiman Azwawi, Yuslie Jusoh dan Naim Izani Mohd Noor.

"Kami mengharapkan servis kencang Promane mampu mengucar-ngacirkan pertahanan lawan.

"Pemain juga perlu lebih tenang di gelanggang, kurangkan kesilapan mudah dan kekal fokus sehingga mata penamat," ujarnya.

Untuk rekod, Kelantan Warriors mengadunkan gabungan pemain muda dan berpengalaman untuk menghadapi cabaran sengit STL musim baru ini.

Dua tekong dari Kelab Navy, Thailand, menjadi pilihan manakala bekas pemain Johor Tigris, Hairee Haidzir, dibawa masuk untuk menguatkan pasukan.