Sah! Pemain kebangsaan dan 'killer' skuad Perak, Muhammad Fazil Mustapa, gagal menempatkan diri dalam skuad The Bos Gaurus dalam Kejohanan Sepaktakraw Kebangsaan Grand Prix (GP) 2017 akibat kecederaan.

Fadzil ditimpa kemalangan jalan raya 24 Julai lalu ketika mendapat pelepasan cuti raya semasa dalam program 'Kita Juara' skuad sepaktakraw Sukan Sea Kebangsaan.

Walaupun belum pulih sepenuhnya, kelibat Fadzil di kem latihan Perak sedikit-sebanyak memberi semangat kepada rakan seperjuangan untuk meneruskan rentak kecemerlangan.

"Siapa tidak kecewa tatkala Perak memerlukan mata penting dalam sirkit kedua ini untuk terus bersaing", ujarnya.

"Masih dalam proses pemulihan dan belum lagi cergas 100 peratus, saya berharap sempat pulih menjelang Liga Sepaktakraw (STL) untuk beraksi bersama Perak Bison.

"Saya yakin skuad Perak mampu bangun dan mengutip mata. Apa yang penting, turun beraksi bersungguh-sungguh dan ikhlas. Anggap semua perlawanan ibarat perlawanan akhir."

GP Kebangsaan sirkit kedua akan berlangsug dari 8 hingga 10 September ini di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Taman Kerama, Kuala Lumpur.