Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad, menepis dakwaan bahawa Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersikap 'pilih bulu' apabila bersedia membuka pintu kepada mana-mana pemain yang menyerlah dalam Liga Sepak Takraw (STL) musim ini bagi menyarung jersi kebangsaan musim 2020.

Antara yang mencuri tumpuan adalah apit kiri, Muqhlis Borhan serta perejam, Noraizat Nordin, yang menyerlah bersama Johor Tigris dalam STL namun tidak mendapat tempat dalam pasukan negara ketika Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember lalu.

Abdul Talib mengakui dua pemain itu mempunyai kualiti dan berada dalam radar pemerhatiannya sambil tidak menolak untuk memanggil mereka menjalani latihan dengan skuad kebangsaan bagi misi tahun depan.

Muqhlis pernah mewakili Malaysia pada 2010 hingga 2014 sementara Noraizat pula pernah membarisi skuad emas negara dalam Sukan Asia Indonesia 2018.

"Ada beberapa pemain yang menarik minat saya untuk diserapkan dalam skuad negara.

"Kami sedang menunggu proses mesyuarat Jawatankuasa Kerja PSM dan MSN," katanya semalam.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan slot untuk pasukan kebangsaan terhad dan nama besar tidak diberikan sebarang jaminan, khususnya kepada tekong, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak, yang bakal tamat penggantungan mereka Mac depan.

"Ia bergantung kepada persembahan pemain itu sendiri. Saya harap Shahir dan Zulkfli berusaha keras untuk merebut tempat dalam skuad negara.

"Mereka perlu membuat latihan sendirian dan bekerja keras dari Januari sehingga Mac depan."


Editor: Shaiful Shamsudin