Kelantan Warriors memulakan kempen musim 2019 dengan langkah kiri selepas tumbang 2-0 di tangan Johor Tigris dalam aksi di Stadium MABA, Kuala Lumpur, hari ini.

Ini merupakan aksi sulung Warriors dalam saingan STL musim ini dan tekanan semestinya memihak mereka menentang Tigris yang sudah pun merekodkan satu kemenangan ke atas Penang Black Panthers menerusi kemenangan 2-0.

Warriors menampilkan tekong, Apirak Promanee, untuk bergandingan dengan Aidil Aiman Azwawi serta Naim Izani Noor tatkala Tigris diwakili Farid Aziz, Wafin Iskandar Hadi serta Norhaizat Nordin.

Kelebihan beraksi satu perlawanan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh Tigris sebelum menamatkan set pertama 21-19.

Warriors terus mengejar bayang-bayang lawan dalam set berikutnya untuk mengheret pertemuan ke aksi penentuan tetapi Tigris lebih unggul menoktahkan kemenangan straight set 21-17.

Kredit foto: STL