Juara bertahan, Penang Black Panters, menerima tamparan awal dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) setelah tewas 2-0 dalam aksi kedua ketika berdepan Johor Tigris, hari ini.

Selepas bermula dengan langkah kanan dalam saingan musim ini semalam dengan menewaskan Negeri Sembilan Antlers 2-0 dalam aksi pembukaan, skuad Panthers membawa motivasi terbaik di Stadium MABA, Kuala Lumpur.

Trio diketuai Zarif Marican selaku tekong, Zaim Razali sebagai feeder dan Azlan Alias yang bertindak selaku perejam dilihat bergelut dalam aksi set pertama apabila tewas 21-17.

Regu Tigris yang menampilkan Farid Aziz, Muklis Borhan serta perejam berpengalaman, Noraizat Nordin, dalam set kedua nyata dalam kelas tersendiri.

Umpanan dan rejaman yang konsisten dibantu dengan beberapa kesilapan mudah, khususnya menerusi servis lemah tekong muda Panthers berusia 18 tahun, Zarif, memudahkan untuk pasukan dari selatan tanah air itu menoktahkan perlawanan 21-18.

Kredit foto: STL