Jawatan presiden PSM saksikan pertembungan satu lawan satu

Oleh Staff Writer 23 Jun 2018 293
Jawatan presiden PSM saksikan pertembungan satu lawan satu
Perebutan kerusi panas presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kini menjadi pertembungan satu lawan satu selepas Datuk Akramuddin Abd Aziz sah menarik diri menjelang mesyuarat agung persatuan itu esok. 

Akram yang memegang jawatan presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka mengambil keputusan menarik diri kerana mahu fokus dalam mempertahankan jawatan timbalan presiden yang disandangnya walaupun sebelum ini dia dicalonkan oleh perwakilan dari Kelantan dan Pulau Pinang.

Untuk jawatan timbalan presiden, Akramuddin akan menentang Syed Araniri Syed Ahmad Al Edroos selepas seorang lagi wakil, Datuk Abdul Jalil Ariffin, menarik diri.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Pulau Pinang dan Kelantan tetapi saya menarik diri daripada pencalonan jawatan presiden PSM," ujar Akramuddin.

Penarikan diri Akramuddin bermakna Datuk Ahmad Ismail akan bertemu satu lawan satu dengan wakil dari Selangor, Datuk Markiman Kobiran.

Dalam masa sama, Ahmad menyeru agar pemilihan esok dapat diadakan dengan penuh aman tanpa wujud sebarang kekacauan dan provokasi. 

"Kami akan menjalankan proses mengikut perlembagaan. Saya yakin urusetia mencukupi dan saya rasa jika ada pihak yang ingik menimbulkan kekacauan, tidak perlulah. 

"Berkelahi dalam gelanggang, itu cara betul untuk membantu," kata Ahmad.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen