Jurulatih Perak, Ismi Hissan Ismail, akur dengan kekalahan 0-2 anak buahnya kepada juara bertahan, Penang Black Panthers, dalam Liga Sepak Takraw (STL) 2019 di Stadium MABA, Kuala Lumpur, semalam.

"Kami kalah kepada lawan lebih hebat dan berpengalaman.

"Memang semalam hari Panthers kerana segala yang dilakukan mereka menjadi manakala buat Perak sebaliknya.

"Meor Mohamad Zulfikar ( tekong) bermain baik dan berjaya melakukan servis kencang tetapi bola berjaya diselamatkan lawan.

"Rejaman-rejaman Muhamad Asyraaf (Hadi) yang sepatutnya mati juga tidak menjadi, " katanya.

Kebimbangan Ismi terhadap keberkesanan servis 'drop' Panthers menjadi kenyataan apabila pemain Bison beberapa kali terperangkap dengan muslihat lawan.

Menurut jurulaih itu, dia merehatkan Muhammad Fadhil Mustapha dan Muhammad Azwan Muhrim dan menurunkan pemain muda, Asyraaf dan Amirul Ramadhan Fazillah Suhaimi dalam pertemuan itu untuk menangani masalah servis 'drop' lawan.

"Mereka telah mencuba tetapi nyata tidak mencukupi untuk menyekat Penang Black Panthers.

"Saya berpuas hati kerana mereka berjaya memberi tentangan ," ujarnya.

Dalam perlawanan itu Panthers menang 21-13, 21-15.

Ismi berharap anak buahnya tidak terkesan dengan kekalahan dalam perlawanan kedua mereka itu dan akan bangkit dalam minggu kedua apabila bertemu Sabah Mountaineers (Sabtu) dan Johor Tigris (Ahad).