Pasukan Perak mahu pemainnya menunjukkan aksi cemerlang dalam Kejohanan Sepaktakraw Kebangsaan Grand Prix (GP) 2017 Sirkit Ke-3 yang akan berlangsung di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Taman Keramat, Kuala Lumpur, yang bermula esok.

Perak mempamerkan peningkatan dalam Sirkit Ke-2 setelah berjaya mara ke suku akhir dan mengutip mata, malah memperbaiki kedudukan mata keseluruhan serta memanjat tangga kesembilan daripada kedudukan ke-11 sebelum ini.

Menurut ketua jurulatih, Ku Jaisman Ismail, kedudukan ini harus diperbaiki jika mereka ingin terus bersaing di peringkat akhir.

"Hanya lapan pasukan terbaik layak ke peringkat akhir. Oleh itu, saya mahu anak buah mempamerkan kebolehan dalam Sirkit Ke-3 ini.

"Jika berjaya ke peringkat separuh akhir, bermakna Perak layak ke aksi akhir. Saya harap pemain-pemain utama dan senior mampu menggalas tugas sebaik mungkin," katanya.

Tahun lalu, Perak tewas di peringkat kumpulan dalam sirkit akhir kepada Terengganu dan Pulau Pinang.