Bison lakar permulaan baik

Oleh Azizan Hashim 7 September 2019 270
Bison lakar permulaan baik
Impian Perak meraih permulaan baik dalam kempen Liga Sepak Takraw (STL) 2019 tercapai apabila menumpaskan Terengganu Turtles 2-1 di Stadium MABA, Kuala Lumpur, malam ini.

Anak buah Ismi Hissan Ismail itu bangkit daripada tewas set pertama untuk menghadiahkan kekalahan kedua kepada Terengganu, yang tumpas 0-2 di tangan Kuala Lumpur Thunder dalam perlawanan pembukaan, semalam.

Perak Bison yang menampilkan Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin (tekong), Muhammad Fadhil Mustapha (perejam) dan Muhammad Azwan Muhrim (feeder) tumpas set pertama 23-21 selepas bertarung sengit selama hampir setengah jam.

Perak yang mendahului 21-20 dalam set itu hanya memerlukan satu mata untuk menang dan melakukan pertukaran dengan menggantikan Meor Mohamad Zulfikar dengan Surasit Phukbuangern tetapi tidak berjaya.

Sebaliknya, Turtles yang turut menurunkan tekong Thailand, Wasun Titapan, Hasmadi Wahab dan Alif Mursyid berjaya mengutip tiga mata berturut-turut untuk memenangi set itu.

Namun, set kedua menyaksikan Surasit menunjukkan ketajaman servisnya untuk membolehkan Bison melakar kemenangan 21-15 dan dengan kombinasi baik Fadzil dan Azwan, trio itu tidak memberi sebarang peluang kepada lawan dalam set penentuan untuk mencatat kemenangan dengan mata yang sama.

Perlawanan kedua Perak ialah bertemu juara bertahan, Penang Black Panthers, esok.

Kredit foto: Perak Bison

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen