Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, mengingatkan pemainnya supaya tidak mengambil mudah aksi pertama apabila turun menentang PDRM Defenders dalam Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium MABA, Kuala Lumpur, malam ini.

Tekanan tinggi dan suasana permainan menjadi penghalang kepada pemain untuk mempamerkan aksi yang mantap jika tidak bersedia sepenuhnya.

Dan pengendali itu juga mengakui kelebihan berpihak kepada skuad Sang Saka Biru itu yang sudah merasai aksi sebenar perlawanan malam tadi biarpun kecundang 2-1 di tangan Kuala Lumpur Thunder.

"Jangan tengok keputusan akhir, sebaliknya perhatikan aksi PDRM Defenders yang berjaya mengheret pasukan pilihan, Thunder, bermain tiga set sebelum menyerah kalah.

"Kami akan turun buat kali pertama dan saya harap pemain lebih bersabar dan tidak mudah melakukan kesilapan mudah yang memberi mata kepada lawan," ujarnya.

Aswadi juga mengesahkan apit kanan kebangsaan, Muhammad Afifuddin Mohd Razali, kembali mewarnai STL musim ini selepas 'hilang' akibat digantung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

"Afifuddin akan kembali bergandingan dengan Hairul Hazizi Haidzir dan Norfaizzul Abdul Razak. Saya harap momentum kemenangan daripada Kejohanan Piala Emas Khir Johari berterusan," tambahnya.