Selepas menumpaskan PDRM Defenders 2-1, naib juara Liga Sepak Takraw (STL), ATM Guardians, berdepan tugas getir apabila turun menentang pendahulu, Kuala Lumpur (KL) Thunder, di Stadium MABA, malam ini.

KL Thunder pula pasti mahu mengekalkan rekod tanpa kalah selepas memulakan saingan minggu pertama STL begitu cemelang dengan tiga kemenangan berturut-turut.

Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, mengakui pemainnya perlu bekerja keras dan mengurangkan kesilapan mudah jika mahu memusnahkan rekod kebal skuad warga kota itu.

Pengalaman juga memihak kepada KL Thunder yang dibarisi ramai pemain kebangsaan, namun pemainnya tidak akan mudah menyerah kalah.

"Satu pertembungan yang menarik dan sudah pasti regu yang mampu menyerap tekanan akan keluar sebagai pemenang.

"Kami akan turun buat kali kedua selepas berhempas-pulas mengatasi PDRM Defenders dan saya harap pemain lebih bersabar dan membentuk pertahanan kukuh untuk mengatasi rejaman padu pasukan lawan," katanya.

Aswadi juga menimbangkan kemungkinan menyenaraikan pemain simpanan untuk beraksi dahulu bagi memberi peluang kepada mereka merasai cabaran STL musim ini.

"Mungkin kami akan bermula dengan tekong muda, Nazmi Najib, sebagai sebahagian strategi permainan.

"Namun, semua masih dalam perbincangan barisan kejurulatihan sebelum senarai akhir dimuktamadkan," ujarnya.

Kredit Foto: STL