ASG: Skuad sepak takraw bermula garang 

Oleh Staff Writer 20 Julai 2019 4235
ASG: Skuad sepak takraw bermula garang 
Pasukan sepak takraw negara memulakan kempen dalam Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019 dengan rentak positif apabila menewaskan Singapura 2-0 di Dewan Sukan Unika Soegija Prana, Semarang, sebentar tadi. 

Aksi regu pertama yang dibarisi Anuar Roslan,  Noramirul Zarawi dan Afif Jazimin Zainal Abidin menyumbang mata pertama selepas menewaskan trio Muhammad Hilmi, Tan Kee Ler dan Syed Khairulazizi 21-7, 21-6 untuk mendahului 1-0.

Regu kedua, Fareez Azrai Othman, Nazrul Iman Mohammad Yusoff dan Zaki Jamil, mengesahkan kemenangan dengan menumpaskan Mohammad Khalis, Irfan Ghani dan Mas Ridzwan.

Skuad negara, bagaimanapun, perlu membuat perhitungan dengan pasukan pilihan, Indonesia, pagi esok bagi menentukan juara kumpulan.

"Indonesia memang pasukan yang kuat. Walaupun bermain di tempat mereka, kami tetap mahu memberikan saingan kepada pasukan tuan rumah kerana memburu kedudukan sebagai juara kumpulan," kata jurulatih negara, Futra Abdul Ghani. 

Terdahulu, Malaysia meraih kemenangan pertama apabila menewaskan pasukan Filipina 3-0.


 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen