Pengendali skuad sepak takraw negara, Mohd Futra Abdul Ghani, tetap berbangga dengan anak buahnya meskipun menamatkan saingan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019 dengan kutipan satu pingat perak dan satu gangsa.

Dalam aksi regu, skuad kebangsaan gagal meraih emas pertama apabila tewas 2-0 ketika menentang Thailand tatkala lawan yang dibarisi Teerathep Yansiri, Phichitpong Chakia dan Natthapon Jamratnaw itu jelas lebih ampuh berbanding wakil Malaysia yang terdiri daripada Mohammad Faisal Mohammad Fuad, Noramirul Zarawi dan Afif Jazmin Zainal Abidin.

Set pertama menyaksikan Thailand dengan mudah menguasai perlawanan apabila menang 21-11 dan walaupun skuad negara mempamer kebangkitan dan mengikat kedudukan 17-17 dalam set kedua, ia tidak mampu mengelak daripada kekalahan 21-17.

"Sasaran memang kami tidak dapat raih. Namun, kami masih berjaya meraih perak untuk acara antara regu. Kami beri tentangan kepada Thailand," kata Futra.

Sebelum itu, Malaysia beraksi dengan cemerlang dalam aksi suku akhir apabila berjaya menewaskan Indonesia dan Filipina dalam separuh akhir.