Regu sepak takraw negara dipilih sebagai penerima anugerah khas dalam Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2018 atas kejayaan meraih pingat emas dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang tahun lalu.

Regu lelaki negara yang dibarisi Syahir Rosdi, Zulkifli Abdul Razak, Norhaffizi Abdul Razak, Farhan Adam dan Azlan Alias mencuri tumpuan ketika menafikan cabaran pasukan tuan rumah, Indonesia, di pentas akhir yang penuh dramatik yang memihak Malaysia 2-1.

Regu negara terpaksa berhempas-pulas dalam set kedua untuk kembali menghidupkan peluang selepas tewas 18-21 dalam aksi sengit dalam set pembukaan.

Selepas mereka melepasi tempoh sukar, iaitu ketinggalan 11-15 dalam set kedua, mereka merekodkan kemenangan 22-20 sebelum melemahkan moral lawan dalam set ketiga untuk kemenangan mudah 21-11.

Apa yang lebih membanggakan, kejayaan itu menamatkan kemarau pingat emas selama 24 tahun skuad sepak takraw negara yang kali terakhir dimenangi di Hiroshima, Jepun pada 1994.

Anugerah khas itu akan disampaikan dalam majlis di Petaling Jaya, Rabu ini.