Malang tidak berbau buat perejam sepak takraw negara, Muhammad Kamal Ishak, apabila mengalami kemalangan jalan raya lewat malam semalam sehingga memaksanya menjalani pembedahan di saraf tengkuk.

Kamal yang dalam perjalanan ke rumah bersama isteri, Nik Norzilawati Nik Wil, terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2), Kuala Lumpur berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan setelah kenderaan dinaiki secara tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan raya gara-gara tayar sebelah kanan pecah.

Kamal ditimpa kecederaan serius di bahagian pinggang dan tengkuk sebelum dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sementara Nik Norzilawati cuma mengalami kecederaan ringan dan kandungannya juga selamat.

"Apabila berada di selekoh, tayar depan sebelah kiri pecah sehingga menyebabkan kereta terpusing. Kemudian, kereta melanggar pembahagi jalan dan kembali ke garisan tengah," kata Nik Norzilawati.

Kamal merupakan sebahagian daripada skuad negara yang meraih pingat perak Sukan Asia Indonesia 2018 bagi acara regu berpasukan, selain turut menjadi sebahagian daripada skuad Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Doktor terpaksa melakukan pembedahan bagi memperbaiki urat tengkuk. Jika tidak, besar kemungkinan sarafnya akan mengalami masalah dan tidak berfungsi. Doktor akan cuba sebaik mungkin," ujar bapa Kamal, Ishak Taib.