Akramuddin: Tidak perlu hasut Syahir, Zulkifli

Oleh Staff Writer 28 Ogos 2019 4224
Akramuddin: Tidak perlu hasut Syahir, Zulkifli
Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Akramuddin Abd Aziz, menyelar pihak yang cuba menghasut dua bekas tekong utama negara, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak, untuk tidak menjawab surat pertuduhan yang dikeluarkan kepada mereka.

PSM semalam akhirnya mengutuskan surat pertuduhan setebal 48 dan 37 muka surat, masing-masing kepada Syahir dan Zulkifli, yang mempunyai tempoh 14 hari dari tarikh itu bagi menjawab kepada Jawatankuasa Tatatertib.

Akramuddin mengakui ada cubaan segelintir pihak yang mengambil kesempatan dengan menjadi batu api sambil mempengaruhi Syahir dan Zulkifli untuk tidak mengendahkan segala pertuduhan PSM kepada mereka berdua.

Bagaimanapun, ia peluang terbaik untuk Syahir dan Zulkifli untuk membuktikan diri tidak bersalah dan cuba merayu untuk mengurangkan hukuman jika didapati sebaliknya.

"Saya tidak ingin menuduh kepada pihak yang menghasut Syahir dan Zulkifli. Sememangnya, Malaysia masih perlukan khidmat dua pemain ini. Kami telah menghantar surat tunjuk sebab kepada mereka dan berharap mereka membalasnya," kata Akramuddin.

"Jika ia adalah alasan yang munasabah, tidak mustahil mereka akan kembali bersama skuad negara."

Dalam masa sama, PSM tidak akan mengendahkan percubaan kelompok individu yang sedang membuat gerakan memboikot Liga Sepak Takraw (STL) sebagai tanda solidariti kepada Syahir dan Zulkifli yang digantung beraksi daripada kejohanan itu.

"Negeri-negeri yang bertanding dalam STL berjaya mendapatkan khidmat pemain import, jadi saya berasakan saingan ini berjaya bukan hanya hasil daripada pemain yang digantung daripada beraksi dalam kejohanan ini."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen