Ahmad: Pintu buat Syahir, Zulkifli sudah tertutup rapat

Oleh Staff Writer 15 Ogos 2019 32723
Ahmad: Pintu buat Syahir, Zulkifli sudah tertutup rapat
Presiden Persatuan Sepaktakaw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, menegaskan pintu buat dua bekas tekong utama negara, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak, untuk kembali ke pangkuan skuad negara sudah tertutup rapat meskipun ia mendapat lampu hijau daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

PSM sudah pun membentangkan perincian kes berkenaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dalam pertemuan di Johor Bahru, 7 Ogos lalu.

Meskipun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi petanda positif kedua-dua tekong itu bakal kembali, PSM tetap bertegas bahawa mereka masih perlu melalui proses yang termaktub dalam perlembagaan, iaitu menghadap jawatankuasa tatatertib badan induk itu untuk menjawab pertuduhan.

"Saya dah bincang dengan KP (ketua pengarah MSN) dan saya minta kepada menterilah, kalau betul anda mahu tahu keadaan, adakan pertemuan dengan PSM.

"Walaupun anda muda, anda masih seorang menteri dan anda mempunyai penghormatan itu.

"Jadi, anda sudah dengar daripada atlet, jadi anda perlu dengar daripada pengurusan.

"Anda tidak boleh dengar daripada atlet dan terus membuat keputusan," katanya selepas majlis perasmian pasukan Penang Black Panthers di Pulau Pinang, hari ini.

Sebelum ini, KBS menerusi menterinya, Syed Saddiq, memberi bayangan bahawa kedua-dua tekong pingat emas Sukan Asia itu akan keluar daripada persaraan untuk kembali menyarung jersi kebangsaan.

Ahmad turut menegaskan masalah disiplin membabitkan Syahir dan Zulkifli sebenarnya bukan perkara baru.

"Sebenarnya, jurulatih dan pengurusan telah membuat keputusan untuk mengeluarkan Syahir pada 2017, setengah bulan sebelum Sukan SEA lagi.

"Saya merayu kepada pengurusan, saya merayu kepada jurulatih agar berikan peluang.

"Saya ambil dia seperti anak saya sendiri.

"Saya cuba bantu dia.

"Kerana saya lihat kebolehan dan kemampuan Syahir itu luar biasa.

"Jadi kami perlukan dia.

"Tapi tak bolehlah.

"Kalau dah jadi pemain bintang, disiplin tiada dan nak rosak habis semua, saya rasa payahlah," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen