Penyandang kerusi nombor satu Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail, terus diberi kepercayaan untuk mentadbir badan induk itu untuk satu penggal lagi selepas menang besar ke atas pencabar dari Selangor, Datuk Markiman Kobiran, dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PSM, hari ini.

Ia merupakan kemenangan Ahmad untuk lima penggal berturut-turut sejak mula memegang jawatan presiden pada 2002.

Ahmad menang besar dengan undian 51-16 ke atas Markiman yang juga presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor.

"Barangkali ahli-ahli gabungan berpendapat saya masih diperlukan untuk meneruskan segala kerja baik yang saya lakukan.

"Mereka masih mempercayai saya," kata Ahmad.

Turut sama mempertahankan jawatan adalah Datuk Akramuddin Abd Aziz selaku timbalan presiden.

Akram menang dengan keputusan 51-14 ke atas wakil dari Perlis, Syed Araniri Syed Ahmad Al Edroos.

Saingan jawatan naib presiden pula menyaksikan hanya Datuk Awang Sham Amit mempertahankan jawatan manakala dua muka baru terdiri daripada Datuk Sumali Reduan dan Datuk Abdul Halim Sulaiman.

Dua lagi wakil, Abdul Razak Rahman dan Syed Hussain Abu Bakar, pula gagal mencabar selepas masing-masing hanya mendapat 12 dan 11 undi daripada perwakilan.

"Saya percaya apa yang dirancangkan akan dilaksanakan bersama-sama.

"Saya mendapat kepuasan yang baru dengan kehadiran naib presiden yang berkaliber.

"Saya juga percaya PSM akan duduk sama tinggi dengan sukan-sukan yang popular," kata Akramuddin.

KEPUTUSAN PEMILIHAN PSM 2018

Presiden

Datuk Seri Ahmad Ismail - 51
Datuk Markiman Kobiran - 16

Timbalan Presiden
Datuk Akramuddin Ab Aziz - 51
Syed Araniri Syed Ahmad Al Edroos - 14

Naib Presiden
Datuk Abd Halim Suleiman - 62
Datuk Awang Sham Amit - 53
Datuk Mohd Sumali Reduan - 51
Ab Razak Rahman - 12
Syed Hussain Syed Abu Bakar - 11