Biarpun Sukan SEA Filipina baru melabuhkan tirainya 11 Disember lalu, ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad, sudah memulakan langkah proaktif untuk merisik kekuatan lawan, khususnya persediaan bagi menghadapi dua temasya besar pada 2021 dan 2022.

Penyertaan Indonesia, Singapura, China dan Korea Selatan dalam saingan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) yang berakhir di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru kelmarin dimanfaatkan sepenuhnya barisan kejurulatihan negara dengan merisik kekuatan pasukan tersebut.

Biarpun tiada kejohanan utama buat skuad kebangsaan bagi tahun depan, Abdul Talib bagaimanapun sudah mula mengumpul data dan statistik bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai lawan sebagai persediaan bagi Sukan SEA Vietnam 2021 serta Sukan Asia Hangzhou 2022.

"Daripada segi persembahan, saya lihat pencapaian pasukan tempatan dalam Piala Juara-Juara STL adalah baik.

"Pesaing-pesaing mereka adalah dari luar negara, contohnya Korea Selatan, Singapura dan Indonesia yang membariskan pemain kebangsaan," katanya.

Setakat ini bagi kalendar 2020, keutamaan skuad negara hanyalah kejohanan tahunan di Thailand, iaitu Piala Raja Thai pada September depan.

"Piala Raja Thai merupakan salah satu pertandingan yang menjadi kayu pengukur kepada kemampuan pasukan negara bagi menghadapi (cabaran) 2021," kata Abdul Talib lagi.


Editor: Shaiful Shamsudin