Prestasi lima bintang dalam minggu keempat di Spice Arena, Pulau Pinang memberikan semangat tambahan untuk Kelantan Warriors mengharungi cabaran lebih getir dalam aksi pusingan kedua Liga Sepak Takraw (STL).

Mengakui cukup berpuas hati dengan persembahan pemainnya, pengurus Kelantan Warriors, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, mengingatkan mereka supaya jangan leka dengan pujian, sebaliknya terus meningkatkan prestasi permainan.

"Alhamdulillah, minggu yang terbaik di Pulau Pinang apabila memungut mata maksimum daripada tiga aksi yang sukar.

"Kami perlu terus konsisten jika mahu mencabar takhta liga dan yakin pemain sedar hakikat itu," katanya.

Syazwan juga mendedahkan kebangkitan Warriors bermula sebaik sahaja mereka tumpas mudah 2-0 kepada Perak Bison dalam minggu ketiga di Stadium MABA, Kuala Lumpur.

"Bison banyak mendedahkan kelemahan pertahanan kami dan selepas itu barisan kejurulatihan memberi lebih tumpuan kepada aspek lambungan apit kanan kepada tekong untuk mendapatkan mata mudah melalui servis.

"Pemain cepat memberi reaksi positif dan dengan sokongan padu penyokong di Spice Arena, Warriors kembali menyusun rentak memburu kemenangan," ujarnya.

Syazwan juga memuji persembahan tekong import, Apirak Promanee, yang semakin tenang membentuk kombinasi mantap bersama apit kiri kebangsaan, Aidil Azwawi, dan pelibas, Naim Izani Wan Noor.

"Syabas kepada Aidil yang dipilih sebagai pemain terbaik minggu keempat STL. Dia memang layak dan harap anugerah itu terus memberi perangsang kepadanya untuk membantu pasukan memburu kemenangan," katanya.

Untuk rekod, Warriors berada di tangga keempat carta STL dengan 12 mata hasil daripada enam kemenangan dan tiga kekalahan.

Kredit Foto: STL