Selepas empat perlawanan, Kelantan Warriors mencipta dua kemenangan untuk menduduki tangga ketujuh Liga Sepak Takraw (STL).

Bangkit daripada kekalahan kepada Johor Tigris dan Negeri Sembilan Antlers, Warriors mendapat mata penuh dengan menumpaskan Terengganu Turtles 2-0 sambil mempamerkan keupayaan sebenar menumbangkan juara bertahan, Penang Black Panthers, 2-1 Ahad lalu.

Kapten Kelantan Warriors, Mohd Yuslie Jusoh, yakin kemenangan ke atas Black Panthers itu menjadi motivasi tambahan kepada rakan sepasukannya untuk mengharungi minggu ketiga yang cukup mencabar.

"Alhamdulillah, kami berjaya kekang asakan hebat Black Panthers di hujung permainan.

"Rezeki memihak kepada kami apabila dua servis kencang Apirak Promanee menghasilkan mata kemenangan.

"Cabaran lebih sengit minggu ini apabila kami dijadualkan menentang PDRM Defenders dan Perak Bison," katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu sedar kelalaian di hujung permainan perlu diatasi segera jika mereka mahu menjadi pencabar kejuaraan STL musim ini.

"Kami bermula dengan baik tetapi beberapa kesilapan mudah di hujung permainan menyebabkan kami terpaksa mengaku kalah.

"Lambungan apit kanan kepada tekong utama, Apirak (Promanee) juga diberi tumpuan khusus barisan kejurulatihan sepanjang sesi latihan.

"Insya-Allah, segala kelemahan dan kekurangan pada minggu kedua akan dibaiki segera sebelum bertemu Defenders dan Bison," katanya.