STL: Warriors yakin mampu cabar kejuaraan

Oleh Farizal Yusoff 6 Oktober 2019
STL: Warriors yakin mampu cabar kejuaraan
Kelantan Warriors memberi amaran kepada pasukan pilihan bahawa mereka kini di landasan terbaik untuk mencabar kejuaraan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini.

Berdasarkan aksi pusingan pertama, Warriors berjaya memenangi enam daripada sembilan perlawanan untuk menduduki tangga keempat liga dengan 12 mata, dua mata di belakang pendahulu, Penang Black Panthers.

Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Zuraidin Abdullah, percaya kemenangan bersih di Spice Arena, Pulau Pinang, sebelum ini dengan meraih enam mata maksimum memberi lebih motivasi kepada Warriors untuk mengharungi cabaran lebih getir di Gem In Mall, Cyberjaya minggu depan. 

"Alhamdulillah, sasaran untuk menduduki kelompok empat terbaik dalam pusingan pertama berjaya dicapai. Tahniah kepada pemain dan barisan kejurulatihan.

"Bagaimanapun, kami harap dalam pusingan kedua, Warriors mampu kekalkan prestasi dan baiki kedudukan dalam liga.

"Kami juga berbangga apabila apit kiri, Aidil Aiman (Azwawi) dipilih sebagai pemain terbaik STL minggu keempat dan harap dia terus mengekalkan prestasi hebatnya demi kejayaan Warriors.

"Selain itu, barisan kejurulatihan juga melakukan post-mortem terhadap tiga kekalahan yang dialami dalam pusingan pertama untuk memastikan pemain tidak mengulangi kesilapan yang sama.

"Sasaran kami adalah untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik liga dan layak beraksi dalam saingan Piala Juara-Juara," katanya selepas menyaksikan latihan persahabatan menentang Skuad Sumatera Barat di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas, malam tadi.

Zuraidin, yang juga Timbalan Exco Belia, Sukan dan NGO Kelantan, mengajak semua penyokong Kelantan Warriors untuk menghadiri satu perjumpaan ramah mesra di sebuah restoran berdekatan Cyberjaya (akan diumumkan) sebaik sahaja aksi menentang ATM Guardians berakhir.

"Perjumpaan ini sebagai tanda terima kasih GASTAK kepada penyokong yang sentiasa berdiri teguh di belakang Kelantan Warriors.

"Insya-Allah, perjumpaan mesra ini akan disertai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat," ujarnya.

Untuk rekod, Kelantan Warriors akan memulakan aksi minggu kelima menentang ATM Guardians pada Sabtu ini sebelum menentang Terengganu Turtles.
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen