Entah di mana silapnya apabila Kelantan Warriors kalah mudah 2-0 kepada ATM Guardians dalam aksi Liga Sepak Takraw (STL) yang berat sebelah malam tadi.

Warriors yang dibimbing Rozi Ab Rahman gagal mengekang serangan padu Guardians yang seakan-akan kembali kepada prestasi terbaik apabila tewas mudah 21-11 dalam set pertama.

Warriors memasukkan Apirak Promanee di penghujung set pertama dan mengeluarkan Sahakan Suiyang, namun masih gagal menahan asakan hebat tekong negara, Hairul Hazizi Haidzir, untuk tumpas 21-13.

Pengurus Kelantan Warriors, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, akur dengan aksi serba tidak menjadi pemainnya biarpun hadir dengan tiga kemenangan berturut-turut.

"Lupakan kekalahan itu dan kami perlu cepat bangkit untuk memburu kemenangan ke atas Terengganu Turtles.

"Satu lagi aksi sukar kerana Tutles kini memiliki pelibas hebat, Phutawan Sopa, yang aksi pertamanya berjaya mencemaskan Perak Bison," katanya.

Syazwan juga mengingatkan pemain supaya tidak lagi mencicirkan mata jika mahu berada dalam kelompok empat pasukan terbaik liga musim ini.

"Kami pertaruhkan regu terbaik (sebagaimana di Spice Arena) dan harap kombinasi ini terus menjadi.

"Kami belajar daripada kekalahan kepada Guardians malam tadi dan harap penyokong berdekatan terus turun ke gelanggang menyokong Warriors malam ini," katanya.

Kekalahan malam tadi meletakkan Warriors di tangga kelima liga dengan 12 mata manakala Turtles di tangga kedua tercorot dengan dua mata hasil daripada 10 perlawanan.

Kredit Foto: STL