Selepas tiga minggu Liga Sepak Takraw (STL) berlangsung di Stadium MABA, Kuala Lumpur, kejohanan itu akan berpindah ke Pulau Pinang bagi saingan minggu keempat, bermula esok.

Menuju ke pertengahan saingan, 10 pasukan terlibat akan meneruskan perjuangan di Spice Arena, Pulau Pinang.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, yakin orang ramai akan memenuhi ruang stadium itu untuk menyaksikan kehebatan pasukan yang bertanding, terutama pasukan tempatan, Penang Black Panthers.

"Buat kali pertama, kami dapat turun di Pulau Pinang dan saya yakin peminat di sini pasti ramai yang sedang menantikannya," katanya selepas sidang media di Hotel Jazz, Tanjung Tokong hari ini.

"Saya harap mereka akan turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan kepada semua pemain, khususnya (pemain) Penang Black Panthers.

"Apapun, kita perlu menjaga keharmonian dan tunjukkan budaya di Pulau Pinang sebagai budaya yang boleh dibanggakan," katanya.

Sementara itu, persembahan setiap pasukan dijangka lebih meningkat dengan kehadiran semula pemain import, termasuk tekong Perak Bison, Natthawut Naewprom, dan tekong Negeri Sembilan Antlers, Wirawut Na Nongkhai, yang kembali memperkuatkan pasukan masing-masing selepas menamatkan saingan Liga Thailand.

"Bermula dari hari ini dan minggu-minggu seterusnya, pemain import yang sudah menamatkan Liga Thailand akan kembali ke sini dan saya yakin mutu (setiap pasukan) akan bertambah baik," tambahnya.