Hajat Perak Bison untuk membuka kempen Liga Sepak Takraw (STL) 2018 dengan nota kemenangan tidak kesampaian setelah kecundang kepada Kuala Lumpur Thunders, sebentar tadi.

Meskipun berjaya bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, gandingan bekas tekong kebangsaan, Meor Zulfikar Mat Amin, bersama-sama Amirul Ramadhan Suhaimi dan Shohibul Fadillah akur tewas 1-2 (14-21, 21-15, 18-21) kepada KL Thunder yang mempertaruhkan Azmi Kadir, Idham Sulaiman dan Hafiz Rahman.

Begitupun, jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, tidak terlalu kecewa dengan kekalahan tersebut, sebaliknya memberi kredit kepada barisan pemainnya yang memberikan tentangan sengit sebelum tewas.

“Memang kami sasar mahu kutip mata penuh sebagai suntikan moral untuk perlawanan seterusnya tetapi tidak mengapa kerana ini baru perlawanan pertama.

“Pemain-pemain masih dalam proses sesuaikan diri bermain di tempat baru, berbanding KL yang sudah bermain dua perlawanan. Jadi memang mengambil masa untuk mendapatkan rentak tetapi ia tidaklah terlalu teruk kerana pemain telah menunjukkan satu permainan yang baik dan memberi saingan yang sengit.

“Set ketiga pun kami kalah dengan hanya tiga mata, kami akan tingkatkan lagi prestasi dan kembali lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” ujar Ismi.

Aksi seterusnya bagi Perak Bison dalam saingan minggu pertama ini adalah menentang Selangor Pistons esok.

Sebagai rekod, Perak Bison yang menjuarai saingan STL Divisyen Satu 2016 menamatkan saingan STL Premier musim lalu di tempat ketiga dan berjaya merebut tempat beraksi dalam Piala Juara-Juara STL.

Ismi menegaskan sasaran utama pasukan itu kali ini adalah cuba untuk mengulangi pencapaian tersebut dan dia percaya Perak Bison mempunyai kredibiliti untuk melakukannya.

Pasukan itu mengekalkan kesemua pemain tonggak, termasuk perejam kebangsaan, Muhammad Fadzil Mustapa, serta memperkuatkan pasukan dengan merekrut Muhamad Azwan Muhrim dari Terengganu dan Firdaus Mohamad.

Mereka juga telah muncul sebagai juara Piala Emas Khir Johari 2018 dan naib juara Grand Prix Sirkit Dua baru-baru ini.