STL: Mountaineers ucap selamat tinggal

Oleh Farizal Yusoff 2 November 2019 197
STL: Mountaineers ucap selamat tinggal
Sabah Mountaineers mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Premier apabila tewas straight set 7-21,10-21 di tangan Negeri Sembilan Antlers dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Indera Mulia, Ipoh, semalam.

Kekalahan kali ke-16 itu sekadar menyaksikan Mountaineers hanya mengecapi dua kemenangan ke atas PDRM Defenders dan Terengganu Turtles musim ini yang menyebabkan mereka terperosok ke dasar liga.

Kapten Mountaineers, Daut Amba, akur dengan penyingkiran itu dan berjanji berusaha lebih gigih untuk kembali semula ke liga utama.

"Kami akur dengan segala kekurangan yang dimiliki untuk bersaing dengan pasukan yang sudah lama beraksi dalam Liga Perdana.

"Aksi menentang Negeri Sembilan Antlers tidak sebagaimana yang diharapkan. Kami gagal berikan aksi terbaik dan pertahanan juga tidak menjadi.

"Kami akan baiki segala kekurangan yang ada dan bangkit lebih kuat selepas ini," katanya.

Daut yang juga pengendali skuad wanita kebangsaan mahu menjadikan kejayaan Selangor Piston kembali semula ke Liga Perdana sebagai motivasi terbaik untuk membakar semangat.

"Mereka (Piston) berjaya tunaikan janji untuk turun sekejap sahaja dan kejayaan mereka patut kami contohi," tambahnya.

Untuk rekod, Mountaineers menamatkan musim ini dengan empat mata sahaja hasil dua kemenangan biarpun diperkuatkan dengan kehadiran tekong import kelahiran Thailand, Wiraphong Phukoet, dan membawa masuk apit kanan ATM Guardians, Khairuddin Adenan.

Kredit Foto: STL

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen