Kalah semua perlawanan, namun Sabah Mountaineers masih menaruh harapan untuk mencipta kejutan bagi menumpaskan juara bertahan, Penang Black Panthers, dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) di Dewan MABA, Kuala Lumpur, malam ini.

Kapten Mountaineers, Daut Amba, mengakui rezeki masih belum berpihak kepada mereka biarpun sudah memberikan segala-galanya dalam aksi sebelum ini.

"Kami tidak berputus asa dan yakin mampu mendapatkan mata pertama dalam saingan liga.

"Satu lagi aksi sukar menentang juara bertahan, Black Panthers, namun kami percaya dalam sepak takraw, apa sahaja boleh berlaku," katanya.

Daut, yang juga jurulatih skuad wanita kebangsaan, percaya regunya mampu memberikan saingan sengit kepada juara sumbangsih itu jika memiliki pertahanan yang baik.

"Kami sedar lawan bukan calang-calang pasukan.

"Mereka memiliki pemain kebangsaan seperti Zaim (Razali) dan Azlan (Alias) yang cukup berpengalaman tetapi kami tidak mudah mengaku kalah," ujarnya.

Untuk rekod, Mountaineers terperosok di dasar liga tanpa sebarang mata daripada enam perlawanan manakala Black Panthers di tempat ketiga dengan lapan mata.