Kuala Lumpur Thunder mengekalkan permulaan sempurna dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018 setelah melakar kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Melaka Titans di Kompleks Gem In Mall, Cyberjaya, petang tadi.

Naib juara musim lalu itu mengetepikan tentangan sengit Melaka Titans 2-1 (24-22, 17-21, 21-11) untuk menghadiahkan juara Divisyen Satu musim lalu itu kekalahan kedua.

Jurulatih KL Thunder, Azhar Sarabini, berpuas hati dengan permainan ditunjukkan barisan pemainnya dan memberikan pujian terhadap servis bertenaga tekong gantian, Ahmad Idham Sulaiman, dan ‘killer’ gantian, Norhafizi Razak, yang banyak membantu mendapatkan mata.

“Kami bermula dengan kurang yakin mungkin kerana posisi tekong. Saya juga membuat pertukaran dengan memasukkan perejam baru (Amar Rohaimee) untuk aksi hari ini.

“Amar belum serasi, jadi ia memberi kesan kepada keseluruhan pasukan, menyebabkan kami banyak memberikan mata yang tidak sepatutnya kepada pasukan lawan.

"Dalam set kedua, saya membawa masuk Ahmad Idham ketika kami ketinggalan 8-16, kemudiannya Norhafizi. Kami mengejar kedudukan sebelum tewas 17-21 dan dalam set ketiga barulah nampak permainan sebenar kami, pertukaran yang dibuat itu membawa hasil dan saya sangat berpuas hati,” kata Azhar.

Sebagai rekod, KL Thunder menang kedua-dua aksi pertama mereka minggu lalu dengan menewaskan Johor Tigris dan Perak Bison manakala Melaka Titans pula tewas dua aksi pertama kepada Penang Black Panthers dan Kelantan Warriors sebelum melakar kemenangan sulung menewaskan PDRM Defenders.

Aksi seterusnya bagi KL Thunder adalah menentang PDRM Defenders manakala Melaka Titans pula akan berdepan Selangor Pistons, esok.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi yang berlangsung lebih awal, ATM Guardians mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan Perak Bison 2-0 (21-13, 21-14).