Kelantan Warriors terus mempamerkan aksi bertenaga apabila menjadikan Kuala Lumpur Thunder sebagai mangsa terbaru dalam aksi kesembilan Liga Sepak Takraw (STL) hari ini.

Pertembungan di Arena Spice itu berlangsung sengit sepanjang kedua-dua set sebelum Kelantan Warriors meraih kemenangan ketiga berturut-turut di Pulau Pinang -- terdahulu menumbangkan ATM Guardians dan Sabah Mountaineers.

Wakil Pantai Timur itu membariskan trio terkuat mereka dengan kelibat tekong import dari Thailand, Apirak Romani, antara yang menjadi tumpuan menerusi servis yang kerap kali menjadi penyumbang mata.

Dibantu umpanan cantik ketua pasukan, Aidit Aiman Azwawi, ia dilihat memudahkan tugasan perejam, Naim Izani Wan Noor, untuk menutup set pertama dengan kemenangan 21-16.

Bersambung set kedua, Kuala Lumpur Thunder agak bergelut apabila servis Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi serba tidak menjadi apabila mudah dibaca lawan.

Walaupun meletakkan perejam kebangsaan, Nor Hafizi Razak, libasannya tidak seperti biasa apabila gagal menghalang Kelantan untuk merakam kemenangan keenam dengan menamatkan saingan 21-17.

Keputusan lain:

JOHOR TIGRIS mn ATM GUARDIANS 21-16, 21-17

PENANG BLACK PANTHERS mn PDRM DEFENDERS 17-21, 21-10, 21-13