Selepas mencatatkan kemenangan selesa menumpaskan Melaka Titans 2-0 (21-16, 21-16), Kelantan Warriors mengintai satu lagi kemenangan dalam aksi minggu pertama Liga Sepak Takraw (STL) menentang Johor Tigris di Gem in Mall, Cyberjaya, petang ini.

Ketua jurulatih Kelantan Warriors, Mohd Roslan Ismail, yakin anak buahnya mampu meneruskan momentum kejayaan untuk mencatat kemenangan kedua sambil mengintai mendaki carta liga.

“Kelantan Warriors tidak boleh terlalu yakin untuk mengalahkan Johor Tigris kerana sikap itu boleh memakan diri.

"Apa yang penting, kami perlu tenang dan berikan fokus sepenuhnya. Jangan lakukan sebarang kesilapan mudah yang membolehkan lawan mendapat mata mudah.

“Jadikan kekalahan 2-1 kepada PDRM Defenders sebagai pengajaran berguna dan semua pemain harus memberikan aksi terbaik untuk memburu kemenangan kedua,” katanya.

Ditanya kekuatan Johor Tigris dalam STL musim ini, Roslan menyifatkan regu dari selatan tanah air itu memiliki gabungan pemain muda dan berpengalaman yang mampu memberikan kejutan.

“Mereka (Johor Tigris) memiliki tekong berpengalaman, Noor Azman Abd Hamid, dan apit kiri kebangsaan, Muqlis Borhan, yang mampu menyerap segala asakan lawan.

“Namun, saya harap pemain Kelantan Warriors yang akan diturunkan nanti sudah bersedia sepenuhnya mempamerkan aksi mantap,” katanya.

Untuk rekod, Kelantan Warriors menduduki tangga kelima carta liga dengan dua mata hasil daripada satu kemenangan dan sekali kalah manakala Johor Tigris masih belum mengutip sebarang mata.