ATM Guardians mahu bangkit mencipta kemenangan ke atas Terengganu Turtles malam ini selepas rekod tanpa kalah dalam empat perlawananan dileburkan juara bertahan, Penang Black Panthers, dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL).

Ketua jurulatih Guardians, Aswadi Abdullah, menggesa pemainnya supaya melupakan kekalahan straight set itu dan kembali fokus untuk memburu kemenangan ke atas lawan yang dikendalikan bekas apit kanan negara, Futra Abdul Ghani, itu

"Tekanan untuk mempertahankan rekod tanpa kalah sudah berakhir dan kini Guardians perlu kembalikan semula aura kemenangan.

"Biarpun Turtles dibarisi pemain muda, setakat ini mereka mampu memberikan aksi terbaik dalam saingan liga.

"Hormati keupayaan mereka, jangan terlalu yakin dan turun ke gelanggang untuk memburu kemenangan kelima bagi mengukuhkan kedudukan," katanya.

Aswadi, yang dipilih sebagai jurulatih terbaik STL musim lalu, memberi isyarat akan menurunkan apit kiri, Adli Abu Bakar, dan merehatkan pemain kebangsaan, Norfaizzul Razak.

"Beri peluang kepada Adli untuk merasai kehangatan STL dan harap-harap dia mampu bergandingan baik dengan Hairul Hazizi dan Afifuddin Razali," katanya.

Untuk rekod, ATM Guardians berada di tangga keempat dengan lapan mata manakala lawannya, Turtles, di tangga kesembilan dengan dua mata hasil satu kemenangan ke atas Sabah Mountaineers.