ATM Guardians bertekad mahu melebarkan rekod tanpa kalah apabila turun dalam aksi kelima menentang juara bertahan, Penang Black Panthers, dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium MABA, hari ini.

Ketua jurulatih Guardians, Aswadi Abdullah, mengesahkan bakal menampilkan regu emasnya yang diketuai tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, perejam muda, Afifuddin Razali, sambil dibantu Norfaizzul Razak.

"Alhamdulillah, trio ini cukup cergas untuk berdepan cabaran sengit daripada Black Panthers.

"Kami menghormati kekuatan yang dimiliki juara Piala Sumbangsih itu tetapi dalam masa yang sama, Guardians mahu mengekalkan momentum kemenangan," katanya.

Aswadi, yang dipilih sebagai jurulatih terbaik STL musim lalu, menjelaskan tiada strategi rahsia yang digunakan untuk menghadapi aksi penting itu, sebaliknya mengingatkan pemain supaya sentiasa fokus dan mengurangkan kesilapan yang boleh memberi tekanan kepada pasukan.

"Layan pertemuan ini dengan semangat juang yang tinggi dan percaya kepada kemampuan diri sendiri.

"Kami tidak memiliki pemain import tetapi mempunyai semangat yang tinggi untuk memburu kemenangan kelima berturut-turut," ujarnya.

Untuk rekod, ATM Guardians memiliki rekod bersih dengan lapan mata hasil empat kemenangan manakala skuad Pulau Mutiara itu di tangga keempat dengan enam mata.