Perak Bison bangkit daripada dua kekalahan pada minggu ketujuh apabila menumpaskan Johor Tigris 2-0 hari ini untuk menghidupkan kembali peluangnya dalam perebutan gelaran Liga Premier Liga Sepak Takraw (STL) 2019.

Selepas tumpas kepada ATM Guardians dan Kuala Lumpur Thunder minggu lalu, anak buah Ismi Hissan Ismail itu mempamerkan perwatakan mantap untuk menang 21-19, 21-16 dalam perlawanan selama 68 minit.

Kemenangan itu menyaksikan Perak kini hanya perlu menang ke atas Penang Black Panthers malam esok untuk memintas ATM Guardians yang kini menduduki tangga teratas liga.

Dengan mendapat sokongan padu hampir 3,000 penyokong, tuan rumah yang menurunkan tekong, Meor Zulfikar Mat Amin, Asyraaf Hadi (pengumpan) dan Amirul Ramadhan Fazillah (perejam) bertindak sebagai satu unit mantap untuk mengetepikan kesungguhan trio Johor.

Walaupun regu Johor Tigris, Farid Aziz, Muqlis Borhan dan Noraizat Nordin menguasai persaingan peringkat awal, kelemahan servis menjadi faktor penyumbang kekalahan mereka.

Skrip babak kedua tidak banyak berubah dengan Nattawhut Naewprom mempelbagaikan servis serta rejaman Amirul untuk mengutip mata demi mata.