Sedar saingan lebih sengit dan hanya menggunakan khidmat pemain tempatan membuatkan naib juara musim lalu, ATM Guardians, lebih realistik dalam membicarakan peluang mereka mengharungi Liga Sepak Takraw (STL) musim ini.

ATM Guardians, yang muncul sebagai naib juara di belakang Penang Black Panthers, dalam saingan STL dan Piala Juara-Juara, masih mengekalkan regu utama yang diketuai tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, sambil dibantu Norfaizzul Abdul Razak dan Muhaimin Che Bongsu.

Bagaimananapun, perejam veteran, Khairuddin Adnan, tidak disenaraikan kerana mewakili Sabah Mountaineers.

Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, menyifatkan sasaran awal untuk berada dalam kelompok empat terbaik liga dan layak ke saingan Piala Juara-Juara STL sebagai fokus utama.

"Agak sukar untuk mengulangi pencapaian musim lepas kerana pasukan lain berlumba-lumba mencari pemain terbaik untuk memantapkan regu.

"Kami masih percaya dengan tenaga tempatan dan kehadiran semula apit kanan kebangsaan, Muhammad Afifuddin Mohd Razali, mampu memberi lebih pilihan di posisi perejam," katanya.

Beliau juga mengharapkan kejayaan menjuarai Piala Emas Khir Johari di Kuala Terengganu, bulan lepas menjadi suntikan terbaik kepada pemainnya untuk menghadapi STL musim baru ini.

"Harap kami boleh memulakan saingan STL dengan langkah kanan apabila menentang PDRM Defenders malam esok," ujarnya.