ATM Guardians melaungkan betapa cabaran mereka dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018 tidak boleh dipandang enteng apabila meneruskan momentum kemenangan dengan menewaskan Johor Tigris 2-0 di Gem In Mall, sebentar tadi.

Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut ATM Guardians yang menurunkan tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, untuk bergandingan dengan Norfaizzul Razak dan apit kanan veteran, Khairuddin Adnan, sebagai regu permulaan.

Trio itu tampil dengan aksi meyakinkan untuk sekali lagi menang straight set 21-18, 21-17, sekali gus memastikan rekod tanpa kalah ATM Guardians masih belum terusik manakala bagi Johor Tigris yang diketuai Muqlis Borhan pula, ini adalah kekalahan ketiga dalam empat perlawanan.

“Ia bukan perlawanan yang mudah sebab Tigris ada pemain dan bekas pemain kebangsaan tetapi pemain saya bermain mengikut perancangan dengan menampilkan permainan menyerang dan kawalan gelanggang yang baik,” kata jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah.

“Kami banyak mendapat mata daripada tekong dan saya juga lega kerana kami akhirnya dapat menurunkan Afifudin (Razali) buat pertama kali dan kehadirannya menambahkan lagi keseimbangan dalam pasukan.”

ATM Guardians selepas ini akan berdepan dengan pendahulu STL Premier, Penang Black Panthers, esok dan Aswadi menganggap peluang pasukannya mengejutkan juara bertahan itu tetap ada walaupun dilihat sukar.

“Saya yakin ia akan menjadi satu pertembungan sengit, kedua-dua pasukan menang tiga perlawanan pertama dan semua orang mahu lihat siapa yang akan akhirnya tumbangkan Black Panthers.

"Mereka adalah pasukan yang kuat dan bagi saya, peluang adalah seimbang. Saya harap pemain dapat tunjukkan permainan menghiburkan dan bermain tanpa tekanan.

"Kalau kami dapat tewaskan mereka, itu adalah satu bonus,” ujar Aswadi lagi.

Sementara itu dalam satu lagi aksi, KL Thunder bimbingan Azhar Sarabini melebarkan rekod kemenangan kepada empat perlawanan berturut-turut setelah menewaskan PDRM Defenders 2-0.

Trio Aizat Azmi, Azmi Kadir dan Hafiz Rahman tidak bermasalah untuk melakar kemenangan mudah 21-16, 21-15 bagi menghadiahkan pendatang baru STL Premier itu kekalahan ketiga berturut-turut.