STL: Antlers sahkan slot ke Piala Juara-Juara

Oleh Staff Writer 3 November 2019 3162
STL: Antlers sahkan slot ke Piala Juara-Juara
Negeri Sembilan Antlers bangkit dalam set kedua untuk mengesahkan kemaraan ke Piala Juara-Juara Liga Sepaktakraw (STL) apabila menewaskan Kuala Lumpur Thunder dalam pertemuan tiga set di Stadium Indera Mulia, hari ini.

Minggu akhir di Ipoh itu penting buat Antlers dan Thunder yang mengisi tangga keenam dan ketujuh dengan sama-sama mengumpul 18 mata.

Trio Thunder -- dibarisi Aizat Azmi yang menyingkirkan Terengganu Turtles ke Divisyen Satu semalam -- terlebih dahulu mendominasi permainan apabila mendahului 18-10 sebelum mengesahkan kemenangan set pertama 21-11.

Ketika set kedua dijangka terus memihak anak buah Azhar Sarabini dan Rashidi Nordin itu, kejutan berlaku menuju ke penghujung permainan.

Sewaktu kedudukan terikat 18-18 sambil halangan kemas Antlers dirasakan tidak cukup untuk mengekang Thunder, gandingan Wirawut Nongkhai, Zuleffendi Sumari dan Hafizul Hayazi Adnan berjaya mengheret permainan ke set penentuan.

Walaupun Antlers masih melakukan beberapa kesilapan, termasuk servis Wirawut yang gagal melepasi jaring, kemenangan tetap memihak mereka dalam set ketiga 21-12 untuk kekal di kedudukan keenam, sekali gus meraih slot terakhir daripada Liga Perdana yang mara ke pusingan seterusnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen