Penampilan pertama dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) tidak memberikan tuah buat Sabah Mountaineers selepas tunduk di tangan Negeri Sembilan Antlers, sebentar tadi.

Beraksi di Stadium MABA, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan yang membariskan dua pemain kebangsaan mempamerkan kebangkitan untuk aksi kedua selepas tewas dalam perlawanan pembukaan berdepan Penang Black Panthers.

Berdepan Sabah yang kali pertama tampil dalam saingan Liga Premier, Negeri Sembilan menurunkan barisan terbaik yang diketuai tekong kelahiran Kelantan, Hisyam Mat, Zuleffendi Sumari selaku feeder dan perejam, Hafizul Hayazi Adnan.

Set pertama menyaksikan Mountaineers dilihat gagal untuk mengimbangi corak permainan lawan yang nyata lebih baik dalam aspek bertahan dan melakukan rejaman apabila trio Izwan Zuki, Jaxon Amput serta Daud Amba terpaksa akur tewas 19-21.

Bersambung set kedua, momentum kemas yang ditampilkan Negeri Sembilan berterusan dan gagal ditangani Sabah sebelum menoktahkan perlawanan 21-15.

Kredit foto: STL