Selepas menang mudah 2-0 ke atas China Great Wall, ATM Guardians melaungkan keyakinan menjadikan perlawanan terakhir menentang juara bertahan, Penang Black Panthers, sebagai aksi final dalam Piala Juara-Juara STL di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru hari ini.

Tindakan itu mudah difahami kerana Guardians sedang bersaing hebat dengan Black Panthers dan Johor Tigris untuk mengintai dua slot separuh akhir daripada Kumpulan B.

Ketua jurulatih Guardians, Aswadi Abdullah, memuji kawalan gelanggang yang dipamerkan pemainnya malam tadi sambil mengingatkan mereka supaya cepat membaiki segala kelemahan yang ada untuk berdepan trio kebangsaan yang beraksi dalam Sukan SEA Filipina baru-baru ini.

"Alhamdulillah, kemenangan 2-0 (21-4, 21-11) malam tadi kembali membuka peluang kami mengintai slot separuh akhir daripada Kumpulan B.

"Perebutan cukup sengit dan kami akan berjuang menentang Black Panthers dengan semangat juang yang tinggi umpama perlawanan akhir.

"Bukan mudah untuk bertemu dengan pasukan yang diwakili semua pemain kebangsaan tetapi saya yakin kami mampu mencipta kejutan," ujarnya.

Aswadi yang juga dipilih sebagai jurulatih STL terbaik musim ini mengesahkan tekong negara, Hairul Hazizi Haidzir, pelibas, Afifuddin Razali dan Norfaizzul Razak akan memulakan aksi terlebih dahulu.

"Kami perlu fokus dan sentiasa berada di depan dalam kiraan mata untuk memberi tekanan kepada lawan. Insya-Allah, dengan prestasi semasa pemain, kami mampu mengejutkan mereka," tambahnya.

Untuk rekod, Guardians muncul naib juara Piala Juara-Juara STL musim lalu apabila tumpas 1-2 kepada Black Panthers dalam final.

Kredit foto: STL