Naib juara Liga Sepak Takraw (STL) musim ini, ATM Guardians, tetap menyandarkan harapan kepada pemain tempatan mengharungi saingan Piala Juara-Juara STL, bulan depan.

Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, menyifatkan kejayaan muncul naib juara di belakang Perak Bison cukup membanggakan biarpun tanpa menggunakan khidmat awang import.

Beliau tetap percaya kepada kemampuan regu utama yang diketuai tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, sambil dibantu Norfaizzul Abdul Razak, Afifuddin Razali, Tengku Azwari Tengku Ishak dan pelibas, Muhaimin Che Bongsu.

"Kejayaan muncul naib juara STL musim ini cukup memberi semangat tambahan kepada pemain untuk menampilkan aksi terbaik dalam saingan itu nanti," ujarnya.

Aswadi yang dipilih sebagai jurulatih terbaik STL untuk tahun kedua berturut-turut, sedar saingan lebih sengit dalam saingan Piala Juara-Juara memandangkan kehadiran regu terbaik dari Thailand, Indonesia, China, Indonesia dan Singapura.

"Agak sukar untuk mengulangi pencapaian musim lalu (mara ke final) kerana pasukan lain berlumba mencari pemain import terbaik untuk memantapkan regu.

"Namun, kami mengharapkan pengalaman yang diraih dua pemain utama (Afifuddin dan Hairul Hazizi) dalam Sukan SEA Filipina nanti menjadi taruhan terbaik Guardians mencipta kejutan," katanya.

Untuk rekod, Guardians muncul naib juara Piala Juara-Juara STL musim lalu selepas tumpas kepada Penang Black Panthers dalam final.