Kelantan Warriors gagal mendapatkan khidmat apit kanan sensasi, Phutawan Sopa, sebaliknya menyenaraikan Wutthikai Rattanasut untuk menghadapi cabaran Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) di Johor Bahru bulan depan.

Selain itu, Warriors membuat kejutan dengan menyenaraikan tekong terbaik STL musim ini, Ahmad Aizat Nor Azmi, yang sebelum ini beraksi untuk Kuala Lumpur Thunder.

Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Zuraidin Abdullah, mengesahkan trio utama Warriors turut berada dalam senarai penuh kontinjen yang akan beraksi dalam kejohanan itu.

"Sedar dengan cabaran sengit yang bakal dihadapi, kami bersetuju untuk memilih Aizat dan Wutthikai untuk bergandingan bersama Aidil Aiman (Azwawi), Naim Izani (Mohd Noor) dan pemain import terbaik STL, Apirak (Promanee).

"Selain itu, Awie Awang pula dilantik sebagai ketua jurulatih yang baru menggantikan Rozi (Ab Rahman) manakala Ahmad Syazwan (Muhammad Hassan) kekal sebagai pengurus pasukan.

"Latihan rasmi akan bermula awal bulan depan sebaik sahaja dua pemain kebangsaan (Aidil dan Aizat) pulang daripada Sukan SEA Filipina," ujarnya.

Zuraidin, yang juga Timbalan Exco Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, menyasarkan layak ke separuh akhir Piala Juara-Juara STL sebagai sasaran utama.

"Berdasarkan prestasi dan pemain yang dipilih, GASTAK yakin Warriors mampu mara ke separuh akhir, sekali gus menyamai pencapaian tahun lalu.

"Insya-Allah, saya harap semua penyokong setia terus berdiri teguh di belakang pemain," tambahnya.

Untuk rekod, Warriors layak beraksi dalam Piala Juara-Juara STL selepas menamatkan saingan liga di tangga kelima dengan 22 mata hasil 11 kemenangan.

Kejohanan itu akan turut disertai juara liga, Perak Bison, ATM Guardians, Johor Tigris dan Penang Black Panthers manakala satu regu dari China, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand turut mengesahkan penyertaan.