Pemain Bison perlu awasi servis lawan

Oleh Azizan Hashim 8 September 2019 308
Pemain Bison perlu awasi servis lawan
Perak perlu mengawasi servis 'drop' tekong lawan apabila turun menentang juara bertahan, Penang Black Panthers, dalam perlawanan Liga Sepak Takraw (STL) 2019 di Stadium MABA, Kuala Lumpur, petang ini.

Peringatan itu diberikan oleh ketua jurulatih pasukan Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, ketika dihubungi sebentar tadi.

"Pemain hadapan perlu awasi helah tekong Panthers. Mereka punyai servis 'drop' yang baik untuk memerangkap lawan," katanya.

Ismi memberi peringatan itu berdasarkan pengamatannya ketika perlawanan menentang Terengganu Turtles semalam.

Dalam perlawanan itu, pemain Perak beberapa kali terperangkap dengan servis 'drop' tekong Terengganu, terutama dalam set pertama.

Walaupun tumpas set pertama, mereka bangkit memenangi baki dua set untuk meraih mata penuh.

Jurulatih itu berharap anak buahnya mampu mengulangi persembahan bertenaga seperti ketika menumpaskan Terengganu 2-1 itu.

Ismi menyifatkan pertarungan petang ini sebagai ujian besar buat tekong baru Bison, Surasit Phukbuangern, selepas melepasi halangan pertama semalam.

"Saya berharap dia menunjukkan kehebatan sebenar dan membuktikan pengambilannya berbaloi," katanya. 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen