Kuala Lumpur Thunder kekal rekod bersih

Oleh Staff Writer 8 September 2019 305
Kuala Lumpur Thunder kekal rekod bersih
Kuala Lumpur Thunder semakin bersemangat untuk mencabar kejuaraan apabila mudah menundukkan pendatang baru, Sabah Mountaineers, 2-0 sekali gus menamatkan minggu pertama musim ini dengan rekod tanpa kalah.

Thunder memulakan kempen dengan menundukkan Terengganu Turtles dan PDRM Defenders serta dijangka tiada masalah berdepan Mountaineers yang bermula dengan langkah kiri susulan tewas di tangan Negeri Sembilan Antlers.

Bagaimanapun, dalam aksi di Stadium MABA, hari ini, Thunder yang dibarisi Aizat Azmi, Norhafizi Razak dan Azmi Kadir enggan memandang mudah cabaran lawan.

Hasil usaha berterusan mengasak lawan, Thunder berupaya merekodkan kemenangan 21-11 dalam set pertama dan ia menerbitkan keinginan mereka untuk menamatkan cabaran lebih awal, namun sentuhan sama dalam set kedua menyaksikan Sabah memberikan tentangan.

Bagaimanapun, rentak permainan yang kemas dikekalkan Thunder dan akhirnya mudah menamatkan saingan 21-13, sekali gus meraikan tiga kemenangan berturut turut minggu ini sebelum kembali mencabar juara bertahan, Penang Black Panthers, dan pencabar terdekat, Johor Tigris.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen